Monday 10 February 2014

Review: CARBURETOR DUNG "Inginku Rejam Raksasa Kejam!" CD 2012


Kesempatan kali ini saya gunakan untuk mengulas album penuh CARBURETOR DUNG tahun 2012 berjudul "Inginku Rejam Raksasa Kejam!". Ringkasnya DUNG, sebuah nama yang tidak perlu lagi diperkenalkan, mereka sensasi, penuh kontroversi, tersohor sebagai salah satu perintis Punk Rock di Tanah Melayu ini, sejak awal 90'an lagi! Hakikatnya DUNG tidak pernah terkeluar dari perjuangan hak dan kebenaran, kebebasan dan kesamarataan, tuntutan-tuntutan kemanusiaan dan juga kemasyarakatan. Malah, kini DUNG tampak lebih lantang dan pedas, membantah dan membangkang habis-habisan!

"Inginku Rejam Raksasa Kejam!" terlebih dahulu dikeluarkan dalam format piring hitam 10" (hanya 8 buah lagu) pada Disember 2011 oleh F.A.M.E.D Records yang berpengkalan di Berlin, Jerman. Kemudian, pada sekitar Mac 2012 ianya dirilis oleh Ricecooker Recordings dalam pakej CD-BOX yang sungguh menarik; bertemakan kerbau, hadir bersama poster bersaiz A2, silk-screened patch, vinyl sticker serta penambahan sebuah lagu (Trek #9) untuk versi CD ini.

1. Mata Buta
2. Potong Nama, Tutup Buku
3. Semua Sama, Semua Bosan
4. The Fine Line of Numb
5. Hanturaya Putrajaya
6. Punk Gampang
7. Aku, Buku & AUKU
8. Macam Celaka!
9. Aku Mau Jadi Anjing Mu

"Inginku Rejam Raksasa Kejam!" sebenarnya telah melalui proses rakaman secara langsung (recorded live) pada 3 dan 4 Jun 2007 bertempat di Dreamwalk Studio, Gombak di mana Mohd Nazri Yusof (Lab) merupakan jurutera bunyi dalam rakaman ini. Mixing dilakukan oleh Bullet dan Carburetor Dung sendiri di Ricecooker Shop sekitar Januari 2009. Kemudian, proses mastering dilakukan oleh Dan Randall dari Mammoth Sound Mastering, California pada Ogos 2011. Kesemua lagu kecuali Aku Mahu Jadi Anjing Mu dicipta oleh Joe Kidd dan Carburetor Dung manakala kesemua lirik dihasilkan oleh Joe Kidd. DUNG dianggotai oleh: Alak (vokal), Joe Kidd (gitar), Tom Bollock (gitar), Fendi (bass) dan Bullet (dram).


"Inginku Rejam Raksasa Kejam!" nyata sebuah produk Punk Rock yang tulen karismanya, luhur pengisiannya, rebel secukup rasa: politikal, radikal & sinikal. Aura Punk DUNG terang benderang, jelas terpampang, teratur dan tidak sesekali berterabur. Inilah Punk Rock yang duduk, berdiri dan berlari dalam ertikata Punk sebenar! Riff gitarnya bermelodi ringkas, kedengaran keras, tersusun dalam aturan 3 atau 2 kord, sekali-sekala diselit solo gitar yang benar-benar menggambarkan tebalnya sifat berontak! Ditambah dengan nyanyian-nyanyian bertenaga dan bermesej, DUNG seakan mengajak pendengar untuk bangkit dan beranjak! Berubah untuk diri, merubah untuk semua! Mereka yang pasif mungkin melihat ini negatif, mereka yang masif pasti mengangkat ini positif. Ini kali-lah!

No comments:

Post a Comment