Saturday 22 November 2014

Interview: DUM DUM TAK


DUM DUM TAK sebenarnya bermula sekadar sebuah jamming band atau projek sampingan 4 anggotanya yang masing-masing mempunyai band utama pada ketika itu. Niat sekadar suka-suka tidak terhenti, mereka semakin menyatu dengan muzik mereka dan sekarang Dum Dum Tak bergerak serius mengembangkan ideologi hardcore/punkrock cernaan mereka. Yang terbaru dari band yang diasaskan di Ampang ini adalah penglibatan mereka dalam 4-way split “Kami Penghasut”. Dalam interview ini kita bersama Nizang (bass, backing vocals) menjawab pelbagai persoalan yang diajukan.

[1] Assalamualaikum Mr. Nizang. Apa khabar? Sebagai pengenalan, boleh cerita sikit sejarah penubuhan Dum Dum Tak. Bila dan di mana band ni ditubuhkan? Apa idea atau tujuan asal Dum Dum Tak ni ditubuhkan dan adakah idea/tujuan tu masih sama pada hari ini atau ianya telah berkembang lebih jauh?
Waalaikumsalam…aku sihat, Alhamdulillah. Okey, band ni ditubuhkan dengan tidak sengaja di Ampang. Di sebuah studio jamming ketika kami jamming suka-suka masa lepak sama-sama. Lepas jam sebuah lagu sendiri dan kemudian jadi empat, tujuan band ni hanya sebagai side-project band tapi selepas main beberapa show di beberapa tempat dan mendapat maklumbalas yang positif, kami teruskannya sampailah sekarang. Dan sekarang ini merupakan band utama untuk setiap ahli. Tujuannya mungkin masih sama iaitu kerana kami memang suka muzik punk rock, jadi pastinya mahu bermain dalam band punk rock dan hasilkan lagu, e.p, album dan merchandise-merchandise lain macam band punk yang lain disamping menyampaikan idea-idea kami menerusi lirik. 

[2] Ok, siapa line-up yang berada dalam Dum Dum Tak sekarang? Apakah saudara Nizang gembira dengan kedudukan Dum Dum Tak pada masa ini? Bagaimana bro lihat sumbangan band ni kepada scene Punk/Hardcore tempatan secara menyeluruh?
Line-up sekarang ni yang tetap dan selalu ada adalah Spanky (dram), Fael (gitar, vocals) dan aku (bass, backing vocals). Rizie masih bersama kami tapi dia terlampau sibuk dengan kerjanya jadi kami bagi laluan padanya untuk tumpukan pada kerjaya. Gembira juga kerana band ni disukai ramai berbanding band-band yang pernah aku sertai sebelum ni. Cuma sekarang kami sibuk dengan komitmen untuk selalu berlatih dan rakam lagu baru. Tapi keluarga dan kerja mestilah diutamakan. Sumbangan kami? Kami cuba buat apa yang kami mampu untuk memberi inspirasi kepada band-band lain terutamanya yang lebih baru dan segar. Kami suka bermain di gig yang bercampur genre. Kami cuba memajukan band dengan mengeluarkan merchandise dan buku supaya band-band, kolektif dan individu lain memperoleh inspirasi, kalau tak berjaya, kami sudah cuba apa yang kami mampu. 

[3] Camner korang definasikan muzik Dum Dum Tak ni? Apa benda yang korang rujuk sebagai inspirasi dalam pembikinan muzik (dan juga lirik) untuk lagu-lagu ciptaan Dum Dum Tak?
Kami panggil aja muzik kami hardcore/punk. Tapi muzik kami banyak juga yang kedengaran poppunk dan melodic punk. Inspirasi dari macam-macam band dari poppunk ke anarchopunk. Fael yang banyak menulis lagu kami dan dia namakan Union 13, Aus Rotten, Resist and Exist, NOFX dan FSF sebagai pengaruhnya. Band-band yang kami semua layan termasuk The Bollocks, Ramones, NOFX, Nostalgia, Marjinal, FSF, Depress, A.C.A.B dan lain-lain. Aku ada tulis beberapa lirik dan biasanya tentang isu social politik semasa seperti perjuangan mahasiswa, bomoh temberang, pengundi hantu dan lain-lain. Ada juga lirik macam lagu rakyat/folk. Bahan bacaan juga memberi inspirasi kepada aku.


[4] Release terbaru Dum Dum Tak kalau tak silap saya adalah pembabitan dalam 4-way split “Kami Penghasut” keluaran Headhunter Records, edaran DDT Distribution. Ok bro, bagi cerita sikit pasal camner terjadinya rilisan split CD ni? Agak conceptual, ianya berkaitan bantahan terhadap Akta Hasutan.. nyatakan pendapat Mr. Nizang terhadap perkara ni?
Okey, sebenarnya projek ini adalah usaha dari Benny Pangazou (Headhunter Records / Penguasaanjing / Con-damn The Corrupter). Dia yang menjemput kami, dan kerana kami tak sempat untuk merakam lagu baru, kami hanya sumbangkan lagu-lagu lama kami yang selalu dibawakan di gig-gig. Lagu-lagu ini diambil dari rilis ‘Hentikan Penindasan’ dan juga split bersama Always Last. 
Benny meminta cadangan aku untuk tajuk 4-way split ini. Aku dapat idea untuk memberikannya tajuk sebegitu sempena isu semasa yang sedang hangat sekarang iaitu isu ‘Akta Hasutan’ dimana ramai individu ditangkap dibawah akta ini kerana menyatakan kebenaran. Ini memang sesuatu yang tidak patut berlaku, seolah-olah pemerintahan kuku besi. 


[5] Perjalanan Dum Dum Tak telah dibukukan. Boleh terangkan lebih lanjut tentang dokumentasi yang diberi nama Aksi Reaksi tu?
Sejak aku kenal punk rock dan baca zine, aku pun buat zine dan lama-kelamaan aku jadi minat menulis dan membaca buku. Jadi aku fikir, aku dah tulis zine dan baca beberapa buku punk dari luar seperti dari Aaron Elliot (Cometbus zine), Cindy Crabb (Doris Zine), Scumbag (tentang vokalis Burgerkill), Hidup Sihat Gaya Punk Hardcore dan lain-lain. Jadi aku fikir aku juga mahu menulis buku tentang muzik punk. Kerana di Malaysia tidak banyak buku genre begini diterbitkan. Inspirasi nak tulis buku ni datang dari buku Double Duce (Aaron Cometbus) dan 28 Hari Jurnal Rock n Roll (Mohd Jayzuan). 
Buku ini aku huraikan balik catitan-catitan kami di blog dengan lebih detail apa yang terjadi disebalik tabir perjalanan dan aksi kami di gig-gig dan lain-lain aktiviti seperti merakam lagu. Juga segala yang perlu diketahui tentang band ni aku tulis dalam buku tu. Mungkin ada sambungan nanti…hehe…

[6] Cerita sikit pasal rilisan Dum Dum Tak yang lepas-lepas kalau boleh, terutamanya tentang “In defense of Pop Punk” (split 2011 w/ Always Last), “Hentikan Penindasan” CD 2009 dan “Punk Dah Mati” promo CDR 2008. 
Apa yang nak diceritakanya…okey 
a) ‘In defense of Poppunk’ tu sebenarnya adalah ‘teaser’ untuk keluaran kami iaitu split dengan Always Last yang tiada tajuk tu. Sebelum keluarkan split 12 lagu, kami keluarkan dulu 4 lagu. Tapi lagu Dum Dum Tak yang dimasukkan ‘Pergi Mampus’ tu yang versi puas hati belum keluar lagi…hahah..
b) ‘Hentikan Penindasan’ adalah keluaran rasmi yang pertama. Aku panggilkan ia album saja. Mungkin ada yang kata tak layak dipanggil album sebab tak cukup panjang atau tak cukup berkualiti, tak kisah. Panggil saja apa-apa. Memuatkan 13 buah lagu dan dikeluarkan oleh 10 label. Kami bercadang nak keluarkan cetakan kedua CD ni pada tahun hadapan, doakan ia berjaya direalisasikan. 
c) ‘Punk Dah Mati’ pula merupakan promo atau teaser untuk album ‘Hentikan Penindasan’. Sebelum keluar 13 lagu, kami keluarkan 3 lagu dulu dengan cetakan terhad. Itu sahaja…


[7] Takde ke dalam perancangan Dum Dum Tak untuk release full-length baru?
Kami sebenarnya sudah tulis kira-kira 17 lagu untuk album baru. Cuma kerana masa dan komitmen membuatkan kami belum sempat berlatih kesemua lagu tersebut. Maklumlah jamming pun 2 bulan sekali, jadi lambat lagu nak lekat. Doakan kami berjaya jamming semua dengan elok dan ada cukup duit untuk merakam dan keluarkan album baru tahun depan, 2015.

[8] Selain Dum Dum Tak, kitaorang jugak tahu yang Nizang juga individu di sebalik Mosh zine dan Nervhous Records. So, bro ceritalah apa-apa perkembangan semasa projek-projek fanzine dan record label ni dan selainnya kalau ada.
Nervhous Records baru mengeluarkan album untuk band Brayok dari Ipoh, Perak. Memuatkan 12 lagu melodic punk/reggae. Cuba dapatkannya, aku pasti korang akan puas hati. Lirik mereka juga tentang social politikal. Cuma berharga RM15 dan percuma sticker. Mosh zine isu 14, 15 & 16 masih ada dijual. Mosh zine isu 17 pula dalam pembikinan sekarang. Sesiapa ada sumbangan boleh hantar pada aku di nizangmosh@gmail.com.


[9] Camner eh korang describe Dum Dum Tak on stage? Apa show/gig yang paling melekat dalam memori korang? 
Antara show yang melekat di memori aku adalah ‘Peace Gig 3’ di Cherating, ‘Berseronok Tour’ Marjinal di Kuala Lumpur, ‘Art of Noise’ di Johor Bharu dan juga ‘Konsert Eco-Freedom’ di Kuala Lumpur. Ini kerana sambutan dari crowd yang menggalakkan. Banyak juga cerita seronok yang berlaku dalam perjalanan, yang sudah aku cerita dalam buku Aksi Reaksi 2.

[10] Last question, maaf ganggu kesibukan harian bro Nizang. Secara peribadi, apa pendapat bro Nizang terhadap scene Punk/Hardcore di Malaysia sekarang ni?
Okey semakin maju dan bagus dengan banyak DIY space untuk adakan gig. Sekarang kita ada cassette store day, record store day, zine festival, distro day out...banyak peluang untuk pedagang DIY menjual barang mereka... Tapi makin ramai dan maju sesebuah scene, makin berpecah-pecahlah. Makin berpuak-puak dan masam muka. Aku rasa ini sesuatu kebiasaan dan tidak dapat dielakkan mungkin…Tapi berlapang dadalah. Kita kawan, bukan lawan…kan??? Terima kasih pada Trashnoiser,blog Noise From Hell dan semua pembaca…punk sokmo!

No comments:

Post a Comment