“Pathetic Crisis” merupakan judul demo pertama dari Round Off, band Oi! dari Kuantan. Demo CD ini keseluruhannya memuatkan sebanyak 9 buah lagu, dikeluarkan pada penghujung September 2017 yang lalu. Round Off mungkin pada dasarnya boleh dilihat sebagai sebuah nama baru, akan tetapi beberapa anggotanya adalah gabungan bekas ahli band The Stompers yang pernah bergiat cergas di awal era 90an dahulu. Tanpa membuang masa, berikut diadakan sebuah temubual bersama pemain dramnya saudara Ajeeb mewakili pihak Round Off.
Apa khabar Round Off. Camne sambutan dan respon pendengar ke atas demo “Pathetic Crisis”?
Alhamdulillah.. Berkenaan persoalan respon dan sambutan demo CD “Pathetic Crisis”.. kami sukar untuk nyatakan kerana buat masa sekarang demo CD ini kami edarkan secara percuma dan dana adalah datang dari line-up Round Off sendiri.. jadi dengan kekangan dana ini, edaran masih lagi dibuat melalui rakan-rakan terdekat untuk diedarkan kepada semua berdasarkan kemampuan yang ada buat masa ini.. mungkin masih ramai yang belum dapat demo CD kami.. Walaubagaimanapun.. untuk memastikan kesemua yang berminat dengan track-track kami boleh mendengarnya.. kami telah mengambil inisiatif dengan meng‘upload’ keseluruhan track-track ke dalam Youtube dan link bagi keseluruhan track boleh didapati dari FB Page rasmi kami ‘Round Off Mania’.. berbalik kepada sambutan dan respon pendengar buat masa ini.. kami masih belum lagi menerima komen-komen yang negatif dan dengan ini kami harap ianya boleh diterima dengan hati yang terbuka.
Aku tengok banyak lagu ada dalam demo tu.. masa bila lagu-lagu tu ditulis dan dirakam? Round Off sendiri puashati dengan penghasilan demo tersebut?
Kesemua lagu di dalam Demo CD “Pathetic Crisis” ditulis dan dirakam dalam tahun 2017. Lirik-lirik lagu adalah ditulis oleh line-up Round Off dan sahabat-sahabat seperjuangan yang lain.. Hendra Revolt Squads, Deriq Stompers, Kong Stompers dan Zuraimi. Berkenaan persoalan adakah kami sendiri berpuashati dengan demo CD kami.. secara amnya kami berpuas hati dan syukur kerana diakhirnya demo CD ini berjaya disiapkan.. memang diakui, masih terdapat banyak kekurangan dalam demo CD kami tetapi inilah yang termampu dari kami buat masa ini.. apa yang penting bagi kami adalah hasil yang ikhlas dari kami untuk semua.. dan diharapkan ianya dapat diterima oleh semua walau dalam keadaan mempunyai kekurangan.
Jelaskan lebih lanjut kepada pembaca tentang jenis muzik Round Off dan apa influence utama korang ni?
Round Off membawa muzik Street Oi! / Punk.. influence kami lebih kepada band-band British Oi! dan Punk era 70an seperti Sham 69, Cockney Rejects dan The Cocksparrer.
Kenapa pilih untuk rakam dan muatkan lagu cover ‘Cum On Feel The Noize’ dari The Slade?
Tiada apa-apa tujuan spesifik kenapa kami masukkan cover track ‘Cum on Feel the Noize’ dari The Slade melainkan kerana lagu itu sendiri di mana tajuk lagunya pun seolah menyeru pendengar untuk menghayati apa yang ada pada kami.. apa yang disampaikan dan juga sekadar hiburan semata mata.
Apa mesej-mesej yang ditulis dan nak disampaikan nenerusi lirik-lirik lagu korang?
Lagu-lagu kami tiada mesej spesifik.. terpulang kepada pendengar sendiri untuk menilaikan apa yang didengar.. cuma lagu-lagu kami sekadar karya yang menyatakan apa yang kami rasa dan hadapi, apa yang kita semua lalui dalam kehidupan dunia hari ini, sistem pengurusan dan pentadbiran hari ini.. dan juga seruan agar kita sentiasa bersatu.. juga terdapat lagu yang menceritakan kisah yang kami lalui di awal perjalanan scene pada era awal 90an di Kuantan, Pahang.
Apa pendapat korang tentang nazi punks / nazi skinheads?
Pendapat kami tentang Nazi Punks dan Nazi Skinheads... terpulang pada individu yang memegang prinsip itu sendiri.. kerana mereka yang memegang prinsip itu sendiri semestinya lebih arif tentang prinsip yang mereka pegang, memang mempunyai pandangan yang berbeza-beza dalam setiap sesuatu terutama sekali apabila berkaitan dengsn prinsip.. cuma apa yang perlu kita ingat adalah kita perlu tahu di mana limit kita, di mana cut off point kita.. apa yang sebenarnya yang kita mahu dan apa sebenarnya yang kita cari.. dan yang penting sekali kita perlu tahu di manakah rujukan sebenar kita.
Dah banyak main gig? Share sikit gig-gig paling best korang pernah join?
Performance pertama Round Off adalah di South East Asia Street Music Festival di Cherating, Pahang pada 31st December 2016... tapi mungkin ramai yang tidak tahu kerana pada masa itu kami perform sebagai gantian band Revolt Squad.. Festival masa tu amat meriah dan sambutan dari crowd juga amat baik.. sahabat-sahabat kami dari band-band lain seperti Rough and Cause, Roots N Boots, Rentenir (Indonesia), Generation 69 (Singapore) dan beberapa band-band local yang lain turut serta perform dalam street music festival tersebut.. dan semestinya festival tersebut merupakan gigs yang paling memberi kenangan kepada kami.. Selain dari South East Asia Street Music Festival kami juga masih aktif dan kebiasaannya perform di gig-gig sekitar Kuantan.
Mungkin ramai gak nak tau sejarah penubuhan Round Off dan siapa-siapa line-up band ni.. so ceritakan sikit?
Line-up Round Off terdiri dari JZ Cancer (lead guitar), Ejat Stompers (bassist), A.K (2nd guitar), Ajeeb Stompers (drummer), Meo Stompers (vocalist) dan Zai (2nd vocalist). Sejarah penubuhan Round Off.. boleh dikatakan di sini yang Round Off telah ditubuhkan pada tahun 2016 di mana ianya merupakan kesinambungan sebuah band The Stompers iaitu sebuah band Oi! yang aktif bermain di gig-gig sekitar Pahang juga di luar Pahang pada era awal 90an.. tidak dinafikan line-up Round Off sekarang adalah terdiri dari gabungan beberapa orang anggota The Stompers dan juga beberapa sahabat-sahabat seperjuangan yang lain.. semua line-up Round Off berasal dari Kuantan, Pahang... pada asalnya kami pernah terfikir untuk terus membawa nama The Stompers tetapi setelah memikirkan dengan lebih mendalam.. kami membuat keputusan untuk mewujudkan nama lain bagi menghormati nama The Stompers yang mempunyai sejarah dan kenangannya yang tersendiri.
Korang tengok scene Oi! kat negara kita sekarang ni camne?
Pandangan kami terhadap scene Oi! di negara kita masih aktif, masih meriah dan masih releven.
Okay ada apa lagi nak bagitau sebagai penutup kata?
Akhir ucapan.. kami ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang mampu menerima kami dan sentiasa memberi sokongan secara langsung atau tidak langsung.. Strength thru unity, fight the real enemy.. Assalamualaikum.
dengar lagu-lagu yang lain di:
No comments:
Post a Comment